KUALA NERUS: Pertikaian kerajaan Terengganu dan FELDA berhubung 14,791 hektar tanah diusahakan agensi itu hampir dimuktamadkan dengan penyelesaian dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rundingan itu kini berada di peringkat akhir selepas beberapa siri perbincangan diadakan membabitkan semua pihak berkepentingan.
“Hampir selesai. Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri serta Bahagian Kawal Selia Felda (BKSF) dan insya-Allah ia akan diselesaikan dalam waktu terdekat,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri Terengganu mengeluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) membabitkan larangan pencerobohan ke atas tanah yang diusahakan FELDA di 10 ladang, meliputi kawasan kira-kira 15,000 hektar.
Tindakan itu diambil susulan dakwaan bahawa tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan sejak lebih 40 tahun lalu.
Notis berkenaan diserahkan kepada pengurusan ladang FELDA di beberapa daerah termasuk Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
Untuk rekod, tanah yang diusahakan FELDA sejak 1985 itu membabitkan keluasan keseluruhan 14,791 hektar, termasuk Ladang FGV Setiu 1 yang meliputi kawasan seluas 1,742 hektar.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sudah menyalurkan 97 peratus pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 setakat ini.
Menurutnya, baki tiga peratus lagi masih dalam proses melengkapkan dokumentasi dan dijangka diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Jumlah keseluruhan Bantuan Wang Ihsan yang dikeluarkan hampir RM200 juta. Sebanyak 97 peratus sudah dibayar, manakala baki tiga peratus lagi melibatkan proses dokumentasi yang masih belum dikemas kini oleh jawatankuasa bencana daerah.
“Baki pembayaran itu akan diselesaikan secepat mungkin dan tidak melebihi tempoh tiga bulan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap mekanisme pembayaran BWI bagi mempercepatkan proses agihan kepada mangsa.-BH Online
