Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia dan ASEAN dijangka menerima manfaat besar menerusi perluasan peluang kerjasama dengan India, melangkaui nilai perdagangan AS$18.59 bilion tahun lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, berkata Malaysia perlu terus memperkasa perdagangan dengan India antaranya menerusi penggunaan Ringgit Malaysia dan Rupee bagi perdagangan dan pelaburan dua hala.

Katanya, India kini berkembang dengan pesat dan mencatat peningkatan luar biasa dalam landskap ekonomi dan perdagangan antarabangsa. 

“Justeru, Malaysia dan ASEAN secara keseluruhannya akan mendapat manfaat besar sekiranya kita dapat memperluaskan peluang kerjasama dengan India, melangkaui nilai perdagangan AS$18.59 bilion yang dicapai pada tahun 2025.

“Satu ciri penting ialah keputusan untuk menggunakan mata wang tempatan sejauh yang boleh. Pendekatan ini turut membabitkan bidang kesalinghubungan digital, tenaga dan semikonduktor,” katanya berucap selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Terdahulu Anwar dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, menyaksikan pertukaran 11 MoU dan dokumen yang merangkumi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara.

Anwar juga berkata pelancongan dan keterhubungan juga adalah bidang yang perlu diberi penekanan lebih besar. 

Katanya, Malaysia menyaksikan peningkatan yang sangat memberangsangkan sepanjang tahun lalu dan berharap dapat memanfaatkan jenama ‘Malaysia Truly Asia’ dan ‘Incredible India’ melalui liberalisasi visa serta peningkatan hubungan penerbangan, supaya lebih ramai dapat menyaksikan keindahan India yang luar biasa.

“Saya sudah berkunjung ke India berkali-kali dan menjelajah ratusan lokasi, namun saya masih merasakan bahawa saya belum sepenuhnya menerokai India. 

“Negara ini terlalu besar, ia adalah sebuah negara yang menakjubkan untuk dikunjungi dan dipelajari daripada sejarah, budaya dan seni, sehinggalah kemajuan terbaharu dalam teknologi,” katanya.

Hargai sokongan India dalam isu Gaza

Anwar, berkata dari segi isu serantau dan antarabangsa, beliau ingin menyampaikan penghormatan dan ucapan terima kasih atas komitmen Modi dalam menyokong usaha keamanan di seluruh dunia, sama ada berkaitan Ukraine dan Russia mahupun di Asia Barat, khususnya di Gaza. 

Katanya, komitmen Modi untuk menyokong proses keamanan adalah jelas dan tidak berbelah bahagi.

“Sehubungan itu, saya ingin sekali lagi menyatakan penghargaan, dan sebagai tanda hubungan baik antara kedua-dua negara, saya dengan segera bersetuju untuk menyokong keputusan Kerajaan India bagi membuka sebuah Konsulat India di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya.

India dan Malaysia berkongsi hubungan sejarah, tamadun dan budaya, serta disokong oleh kira-kira 2.9 juta komuniti diaspora India di Malaysia, yang ketiga terbesar di dunia.

Hubungan ekonomi Malaysia-India terus menunjukkan momentum kukuh, yang menyaksikan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM79.49 bilion (AS$18.59 bilion) pada 2025.

Eksport Malaysia pula berjumlah RM52.3 bilion (AS$12.24 bilion) dan import sebanyak RM27.19 bilion (AS$6.35 bilion).

Barangan eksport utama merangkumi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit, serta produk elektrik dan elektronik, manakala import dari India terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia.

Lawatan berkenaan sebagai kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke India pada Ogos 2024.

Kunjungan itu adalah yang ketiga oleh Modi dan yang pertama sejak hubungan dua hala dinaik taraf ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada Ogos 2024.-BH Online