Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GOMBAK: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran, beliau akan mengambil tindakan maksimum kepada mana-mana pihak yang mengganggu gugat keselamatan, ketika negara dihadiri tetamu pada hari ini. 

Perdana Menteri berkata, beliau memberi arahan tegas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengambil tindakan itu pada mesyuarat Kabinet semalam, selain menghantar mesej kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Amaran beliau merujuk kepada satu perhimpunan yang dirancang diadakan di ibu negara malam ini, anjuran Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) disertai 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah ibadat haram yang dilihat semakin berleluasa di seluruh negara.

Perhimpunan itu diadakan ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama dua hari, bermula hari ini.

Beliau mengingatkan agar isu-isu sensitif tidak dieksploitasi dengan cara yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum Melayu, Cina dan India, sambil menegaskan bahawa keselamatan negara tidak boleh dikompromi atas apa juga alasan. 

Beliau turut memberi amaran kepada peserta perhimpunan supaya tidak melampaui batas peranan masing-masing dan bertindak seolah-olah penguat kuasa undang-undang.

“Nak bagi pandangan dan kritikan, boleh. Di negara ini bebas tapi kalau kamu ganggu gugat keselamatan negara dan cuba khianati, persulitkan keadaan ketika ada tamu negara kita, percayalah, saya akan ambil tindakan maksimum, tangkap dan humbankan mereka. 

“Jangan hasut sampai benci satu sama lain. Jangan langgar prinsip undang-undang. Kamu bukan hakim atau ketua polis. Kamu nak ambil alih tugas ketua polis, kami tangkap dan humban kamu.

“Percayalah, nak cuba, cuba hari ini dan tengok,” katanya berucap pada Konvensyen PKR Selangor di sini, hari ini. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, hari ini berkata pihaknya tidak membenarkan perhimpunan itu, yang dijadual pada jam 8 malam diteruskan atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman. 

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan percambahan kuil yang tidak mengikut peraturan ditetapkan, sama seperti rumah ibadah lain, seperti masjid, surau atau gereja. 

Bagaimanapun katanya, isu itu tidak boleh dipolemikkan sehingga boleh menimbulkan permusuhan antara kaum. 

“Orang Melayu yang nak bangkitkan isu ini, ikut peraturan dan kalau dah dilanggar, hasilnya kebencian, masalah tidak selesai,” katanya.-BH Online