Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GOMBAK, 6 Februari– Program hafazan al-Quran yang dilaksanakan di Tabika dan Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) tidak akan terhenti di peringkat prasekolah, sebaliknya diteruskan secara berperingkat sehingga ke sekolah rendah.

Komitmen itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, persetujuan telah dicapai bersama Menteri Pendidikan dalam pertemuan minggu lalu bagi menyelaraskan kesinambungan modul pra-tahfiz apabila murid berusia lima tahun memasuki tadika bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Langkah itu bertujuan mengelakkan berlakunya “kerugian pembelajaran” dalam kalangan murid yang telah memulakan hafazan bawah KEMAS seawal usia dua tahun.

“Kami juga mencadangkan agar pelajar-pelajar Islam mempunyai kelas tambahan daripada darjah Satu hingga darjah Enam, juga ada mata pelajaran penghafazan Qur’an.

“Ini bagi kesinambungan daripada apa yang mereka pelajari ketika berada di tabika dan tadika KEMAS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Maahad Tahfiz AlMashrafe di sini hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, penyelarasan tersebut adalah sebahagian daripada usaha membina ekosistem pendidikan agama yang lebih tersusun, bermula daripada prasekolah sehingga pendidikan rendah.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan Tabika dan Tadika KEMAS akan berperanan sebagai ‘feeder school’ kepada sekolah kebangsaan susulan persetujuan dicapai antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan KPM.

Ia bagi menyelaraskan kemasukan kanak-kanak berusia lima tahun ke tadika di bawah KPM yang ditempatkan di sekolah kebangsaan.

Menurutnya, sebelum ini kanak-kanak berumur dua hingga lima tahun berada bawah Tabika dan Tadika KEMAS, namun kini murid berusia lima tahun akan disalurkan terus ke tadika KPM sebagai persediaan awal memasuki Tahun Satu.

“Persetujuan telah dicapai supaya Tabika dan Tadika KEMAS menjadi feeder school, iaitu institusi asas yang menyediakan murid sebelum mereka melangkah ke sekolah kebangsaan,” katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, penyelarasan itu memberi penekanan kepada penguasaan 3M – membaca, menulis dan mengira – sebagai keutamaan dalam memastikan kesiapsiagaan murid ke alam persekolahan formal.-Berita RTM