KOTA TINGGI: Johor terus memperkukuhkan agenda kelestarian alam menerusi pembinaan Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Pelupusan Buangan Terjadual (JISWH) di sini.
Projek pembinaan JISWH menelan kos RM310 juta bertujuan meningkatkan pengurusan sisa buangan terjadual industri di negeri itu telah bermula pada 15 Disember tahun lalu dan dijangka siap pada 15 Jun 2027.
Ia dibangunkan oleh Kitar Selatan Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh KPRJ Environment Sdn Bhd di bawah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dengan kerjasama rakan strategik SJ Varied Sdn Bhd
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek itu menandakan komitmen kerajaan negeri dalam mengimbangi kepesatan industri dengan kelestarian alam sekitar selaras dengan aspirasi Johor Maju 2030 dan agenda Johor Bersih.
“Hari ini bukan sekadar majlis pecah tanah, ia adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan kepesatan industri bergerak seiring dengan kelestarian alam sekitar.
“Johor mahu terus maju sebagai negeri perindustrian utama, namun dalam masa yang sama kekal bersih dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pecah tanah projek berkenaan di sini, hari ini.
Onn Hafiz berkata, fasiliti itu akan menyokong pelaksanaan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) serta meningkatkan keyakinan pelabur dengan menyediakan infrastruktur berpiawai antarabangsa bagi pengurusan sisa industri yang bertanggungjawab.
Terletak secara strategik berhampiran Tapak Pelupusan Seelong, hab ini dijangka dapat mengoptimumkan logistik serta meningkatkan kecekapan rawatan sisa di seluruh rantau ini.
Antara komponen utama fasiliti itu ialah loji rawatan termal, loji solidifikasi, loji rawatan fizikal dan kimia, serta tapak pelupusan selamat.
Dengan infrastruktur baharu ini, sebahagian sisa buangan terjadual akan dipulih dan dirawat untuk digunakan semula, manakala selebihnya akan dilupuskan dengan selamat mengikut peraturan alam sekitar yang ditetapkan.
Projek ini dilaksanakan ketika minat global terhadap Johor semakin meningkat, didorong sebahagiannya oleh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
JISWH dijangka mengisi jurang kritikal dalam pengurusan sisa buangan terjadual dengan memberi perkhidmatan kepada industri yang menghasilkan sisa di bawah 76 kod buangan terjadual di Johor, Melaka dan Pahang sepanjang tempoh operasi selama 30 tahun.
Projek ini juga dijangka mewujudkan kira-kira 150 peluang pekerjaan, khususnya kepada rakyat Johor, merangkumi pelbagai tahap kelayakan dan kemahiran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KPRJ, Datuk Lukman Abu Bakar berkata, projek tersebut mencerminkan hala tuju strategik jangka panjang KPRJ dalam menjana pulangan mampan sambil menyokong matlamat kelestarian negeri.
“JISWH adalah pelaburan strategik jangka masa panjang KPRJ yang bukan sahaja menyokong keperluan industri Johor, tetapi turut memperkukuh agenda kelestarian negeri.
“Projek ini membuktikan bahawa syarikat milik Kerajaan Negeri Johor mampu membangunkan dan mengurus fasiliti pengurusan sisa buangan terjadual yang memberi nilai ekonomi dan alam sekitar secara serentak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SJ Varied Sdn Bhd, R. Shashithran berkata, kerjasama itu menggabungkan kepakaran teknikal dan pengalaman operasi bagi memastikan fasiliti itu memenuhi piawaian alam sekitar yang ketat serta amalan terbaik.
“Fasiliti ini akan menjadi penanda aras baharu dalam pengurusan sisa industri yang selamat, bersepadu dan berteknologi tinggi,” katanya.-BH Online
