KUALA LUMPUR, 5 Februari – Eksport unsur nadir bumi (REE) Malaysia tidak terhad kepada Amerika Syarikat (AS) meskipun wujud Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara kedua-dua negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata perjanjian berkenaan tidak menetapkan sebarang komitmen eksklusif, kewajipan pembekalan atau keutamaan pasaran yang mengikat Malaysia untuk mengeksport REE kepada mana-mana negara tertentu.
“Selaras dengan dasar semasa negara, Malaysia masih mengekalkan larangan eksport mentah REE bagi memastikan sumber strategik ini tidak dieksploitasi tanpa nilai tambah.
“Bagi menggalakkan pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri dalam negara, termasuk pemprosesan, penyelidikan dan pembangunan, serta pengeluaran produk hiliran,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, beliau berkata dasar berkenaan digubal dengan mengambil kira kepentingan jangka panjang negara, pembahagian bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta keperluan memastikan pembangunan industri REE dilaksanakan secara mampan dan bertanggungjawab.-Berita RTM
