Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan salah laku yang melanda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kebelakangan ini tidak mencerminkan hakikat sebenar pasukan keselamatan negara itu.

Sebaliknya, perkara itu berpunca daripada tindakan segelintir individu dalam jumlah yang kecil.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau sememangnya tidak menafikan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini seperti kegelinciran integriti, salahguna kuasa, serta gejala hedonisme dan sebagainya.

“Perkara itu mencemarkan nama baik, mencalar maruah serta menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat terhadap integriti ATM.

“Saya ingin menegaskan, apa jua isu yang melanda ATM sejak akhir-akhir ini sama sekali tidak mencerminkan hakikat sebenar ATM sebagai sebuah institusi yang unggul dan dihormati,” katanya pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) 2026 Kuala Lumpur di Dewan Perdana FELDA, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan PJM kepada 413 veteran ATM.

Mohamed Khaled berkata, jasa, pengorbanan, keringat dan penat lelah ditaburkan warga veteran ATM juga adalah wajah ATM yang sebenar.

“Apabila rakyat menyebut mengenai ATM yang sepatutnya terpancar dalam bayangan dan fikiran mereka adalah keberanian dan pengabdian warganya dan tuan-puan sendiri sebagai veteran ATM bukannya perbuatan-perbuatan yang mengkhianati amanah yang mulia terhadap keselamatan dan juga kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada masa ini sedang bekerja keras untuk memulihkan integriti dan wibawa ATM seperti yang digariskan dalam Perutusan Tahun Baharu 2026.

“Kementerian juga sedang berusaha membetulkan semula persepsi rakyat terhadap institusi pertahanan negara. Dalam hal ini saya ingin memohon dukungan dan bantuan tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk bersama membantu kementerian, membersihkan nama baik ATM di mata masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, veteran ATM yang pernah berkhidmat sewajarnya lebih mengetahui gejala negatif yang berlaku bukan melambangkan budaya pasukan itu yang sebenar.

“Maka marilah sama-sama berganding bahu mengembalikan keyakinan masyarakat, bangsa dan negara terhadap ATM.

Marilah kita ingatkan semua keamanan dan ketenteraman yang kita nikmati hari ini wujud, hanya kerana pengorbanan dan sumbangan ATM yang berpanjangan,” katanya.-BH Online