Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pelaksanaan Skim Potongan Gaji (SPG) secara sukarela membabitkan kakitangan kerajaan, badan berkanun dan sektor swasta sebagai langkah strategik memastikan kelangsungan serta peluasan Program Wakaf al-Quran di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, mekanisme kutipan wakaf perlu dirangka secara inklusif, mudah dan diyakini bagi membuka ruang penyertaan lebih luas merangkumi semua lapisan masyarakat.

Katanya, sumbangan kecil dibuat secara konsisten melalui SPG berupaya menghasilkan impak besar dalam jangka panjang.

“Akan diusahakan supaya pemotongan gaji dapat dilakukan bukan hanya kepada pegawai kerajaan, tetapi juga kepada eksekutif serta pekerja di sektor swasta.

“Saya berharap pihak Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) yang akan menguruskan pemotongan gaji ini, tidak mengenakan sebarang bayaran kepada Nasyrul Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Wakaf Al-Quran Ke-19 Peringkat Kebangsaan 2026 di Nasyrul Quran di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Penaung Yayasan Restu turut meminta supaya ahli koperasi di seluruh negara menyalurkan sumbangan melalui ANGKASA bagi memperbanyakkan wakaf al-Quran, selaras dengan sasaran memperluas pengedaran mushaf ke peringkat antarabangsa.

Jelasnya, program Wakaf al-Quran bukan sekadar tertumpu kepada penghasilan mushaf, malah merangkumi usaha menterjemahkan al-Quran ke dalam 30 bahasa bagi diedarkan ke negara yang mempunyai populasi umat Islam minoriti.

Pengedaran al-Quran ini akan dihantar ke negara-negara yang umat Islamnya berada dalam kelompok minoriti, supaya mereka turut mendapat akses kepada mushaf al-Quran yang sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru pempengaruh media sosial menggunakan pengaruh masing-masing untuk mengajak pengikut menyumbang sekurang-kurangnya satu mushaf al-Quran sebagai wakaf.

Katanya, sumbangan itu bukan sahaja menyumbang kepada penyebaran al-Quran, malah diyakini membawa keberkatan kepada penyumbang.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kolaborasi strategik antara Nasyrul Quran, Yayasan Restu serta pempengaruh termasuk pencipta kandungan di platform media sosial seperti TikTok, khususnya dalam memanfaatkan dunia tanpa sempadan dan sistem komunikasi digital yang semakin terbuka.

“Gunakanlah peluang ini, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan, untuk mengajak masyarakat menyumbang wakaf al-Quran. Walaupun secara tidak langsung, ia mampu memberi impak besar kepada kelangsungan program ini,” katanya.-BH Online