KUALA LUMPUR, 3 Januari – Projek Pembinaan Penjara Sibu, Sarawak bernilai RM275.33 juta dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2029, sekali gus menggantikan penjara sedia ada yang telah berusia lebih 100 tahun.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek strategik bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan dilaksanakan secara kaedah Reka dan Bina dengan tempoh pembinaan selama 36 bulan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) kekal bertegas dalam usaha menangani projek sakit, namun pada masa sama perlu berlaku adil kepada kontraktor yang berdepan kekangan di luar kawalan mereka.
“Kita memang ada tadbir urus dan ada prosedur operasi standard (SOP). Apabila disiasat mengapa sebabnya dan sebagainya, kita kena adil juga kepada mereka.
“Mungkin kebanyakan sebab itu keluar dari kawalan mereka sebab ada projek-projek ini memerlukan pengambilan tanah, kebenaran agensi lain, cuaca pun boleh mengganggu kelancaran pelaksanaan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Pembinaan Penjara Sibu, Sarawak, di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini.
Pembinaan Penjara Sibu bertujuan menyokong pelaksanaan Program Pemulihan Insan yang lebih menyeluruh melalui penyediaan fasiliti moden serta persekitaran yang kondusif.
Penjara baharu itu direka untuk menampung sehingga 1,000 prospek dan dijangka dapat mengurangkan kadar residivisme sebanyak 2.38 peratus, selain mengurangkan kesesakan banduan di Penjara Negeri Sarawak sehingga 19 peratus menerusi pemindahan prospek ke Penjara Sibu.
Selain itu, tahap kesiapsiagaan kakitangan penjara turut dijangka meningkat dengan response time diunjurkan naik sebanyak 29 peratus kepada 75 peratus, hasil penyediaan kuarters yang mencukupi dalam kompleks penjara tersebut.
Sepanjang tahun 2025, JKR Malaysia telah mengeluarkan 17 Surat Setuju Terima (SST) bernilai RM292.8 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek di bawah KDN, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur keselamatan negara.
KKR dan JKR Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur awam yang berkualiti selari dengan agenda Kerajaan MADANI, demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.-Berita RTM
