KUALA LUMPUR, 3 Februari 2026 – Pendekatan turun padang penting bagi memastikan pelaksanaan dasar serta hala tuju kementerian selari dengan realiti operasi di peringkat pelaksana, selain membolehkan isu dan cadangan disampaikan secara terbuka serta telus.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pendekatan itu dilaksanakan menerusi lawatan ke pejabat dan bahagian di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) bagi mendengar secara langsung pandangan, kebajikan serta cabaran warga kerja dalam menghadapi perubahan landskap media semasa.
“Sebenarnya saya ingin meluangkan masa bukan hanya dalam acara besar seperti ini, tetapi mungkin saya akan aturkan masa untuk datang melawat anda semua di pejabat masing-masing,” katanya.
Datuk Fahmi berkata demikian pada sesi Town Hall Menteri Komunikasi bersama RTM yang dihadiri kira-kira 500 warga kerja gred 12 dan ke bawah daripada semua skim perjawatan di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Sementara itu, Warga RTM, Muhammad Zul Akhmal Mohd Rodzi berpandangan usaha itu wajar dilaksanakan bagi memastikan suara kakitangan terus didengari pihak pengurusan.
“Saya berpendapat langkah ini amat baik supaya Menteri Komunikasi dapat mendengar sendiri keluhan warga RTM yang telah banyak menyumbang jasa dalam bidang penerbitan dan komunikasi kepada masyarakat sekali gus meningkatkan motivasi serta membuatkan mereka berasa lebih dihargai,” katanya.
Seorang lagi warga RTM, Nur Izzuddin Syamim Mohd Bahrin menyatakan keyakinan segala luahan serta keperluan kakitangan akan dipertimbangkan.
“Saya percaya segala luahan dan keperluan, khususnya melibatkan warga Jabatan Penyiaran Malaysia, insya-Allah akan dipertimbangkan serta didengari sendiri oleh Menteri Komunikasi,” katanya.
Azureen Balkish pula berkata pendekatan itu memberi ruang kepada warga RTM menyuarakan pandangan selain menyuntik keyakinan serta harapan baharu.
“Saya merasakan sesi tersebut amat berkesan kerana YB mendekati warga RTM dengan pendekatannya yang tersendiri. Ia memberi ruang kepada kami untuk meluahkan perkara yang sekian lama terpendam selain membawa keyakinan dan harapan baharu kepada warga RTM,” katanya.-Berita RTM
