Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 3 Februari – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) komited mengekang sepenuhnya aktiviti ‘counter setting’ di pintu masuk negara meskipun kegiatan itu belum dapat dibanteras sepenuhnya.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya masih menerima risikan serta aduan berhubung kegiatan berkenaan walaupun tiada bukti kukuh setakat ini.

“Yang pasti, senarai mereka yang terlibat dalam ‘counter setting’ ataupun ‘flying passport’ ini masih belum menemui titik noktahnya.

“Percayalah bahawa saya dan pucuk pimpinan kementerian tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan keselamatan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Pengarah AKPS 2026 di Dewan Serbaguna Kementerian Dalam Negeri, di sini.

Beliau berkata kegiatan itu telah berlaku sejak sekian lama dan menjadi cabaran besar kepada agensi untuk mengubah budaya yang sudah berakar.

“Sejak saya masuk polis pun kita dah tangkap berapa ramai orang dan ia masih lagi berlaku. Jadi, ia sudah sekian lama dan sudah menjadi satu budaya.

“Apabila sesuatu itu telah menjadi kebergantungan dalam kehidupan seseorang, untuk mengarahkan individu tersebut mengubah cara hidupnya bukanlah sesuatu yang mudah. Ia bukan satu perkara yang boleh dilakukan dalam sekelip mata. Jadi, itulah cabaran besar kepada AKPS untuk memastikan warga kerjanya bebas daripada aktiviti itu,” katanya.

Menurutnya, sejak beliau memimpin agensi itu, seramai 39 warga AKPS telah ditahan dan sebahagiannya didakwa serta dikenakan tindakan tatatertib.-Berita RTM