Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA KANGSAR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi amaran tegas kepada kontraktor, khususnya kelas G1 hingga G4 untuk tidak menyerahkan projek diperoleh kepada pihak lain, sebaliknya melaksanakan sendiri kerja berkenaan. 

Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim, berkata perkara itu penting untuk dilaksanakan oleh syarikat terbabit bagi meningkatkan kemahiran, keupayaan serta daya saing ke peringkat lebih tinggi.

“Saya amat berharap perkara ini (subkontraktor) dielakkan kerana kita mahu bantu kontraktor kelas G1-G4 supaya mereka boleh meningkatkan kemahiran sehingga dapat tingkatkan kelas dengan harapan satu hari nanti boleh ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Cabutan Undi Kontraktor G1-G4 bagi Jalan Persekutuan Negeri Perak yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini, hari ini.

Azman berkata, KKR juga melaksanakan inisiatif yang dikenali sebagai Competitiveness and Globalization, dengan kementerian membawa kontraktor yang telah mencapai peringkat tinggi untuk membida projek pada peringkat lebih tinggi. 

“Kalau kontraktor tidak boleh tingkatkan dari segi kemahiran (dan) pengetahuan bagaimana kita hendak bawa ke peringkat lebih tinggi? 

“Pada peringkat KKR melalui Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kita cuba mempertingkat pembangunan kapasiti kontraktor kita. Ini perkara yang kita perlu lihat supaya jika ada kontraktor luar datang membida projek, kita mampu bersaing,” katanya.

Program kerja undi itu antara inisiatif penting Belanjawan 2026 yang bertujuan mempercepat pelaksanaan kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan menerusi pembabitan dan penyertaan kontraktor kecil Bumiputera bertaraf G1 hingga G4. 

Sebanyak RM32.95 juta terdiri daripada 89 bilangan kerja di bawah kategori G1 hingga G4 diperuntukkan kepada penyelenggaraan Jalan Persekutuan Negeri Perak. 

Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata, peruntukan hampir RM28 juta sudah diluluskan kerajaan kepada KKR bagi pembinaan BIM Lab atau Makmal Pemodelan Maklumat Bangunan seluruh negara yang antara lain bertujuan meningkatkan keupayaan kontraktor tempatan.

RM300 juta untuk pemerkasaan kontraktor G1-G4

Sementara itu, KKR dalam kenyataan memaklumkan bagi 2026, sebanyak RM300 juta diperuntukkan di bawah Program Pemerkasaan Kontraktor G1 hingga G4 dengan meningkatkan penglibatan mereka dalam kerja penyenggaraan jalan raya berkala dan bukan berkala bagi Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia. 

“Program yang telah diluluskan pada 21 Januari membabitkan 758 kerja iaitu 81 kerja berkala turapan dan 677 kerja berkala bukan turapan, meningkat sebanyak 112 kerja berbanding 2025 sekali gus melebarkan peluang penyertaan kontraktor kecil, khususnya kelas G1 dan G2 dalam projek pembangunan negara. 

“Skop kerja membabitkan penyenggaraan turapan seperti mill and pave, Cold In-Place Recycling (CIPR), overlay dan pembinaan semula jalan manakala kerja bukan turapan merangkumi peningkatan aspek keselamatan dan estetika jalan raya termasuk garisan jalan, papan tanda, bebendul jalan dan sistem perparitan,” menurut kenyataan itu. 

KKR memaklumkan penilaian prestasi kontraktor akan menjadi asas peluang kerja masa hadapan, selaras penegasan bahawa tiada kompromi terhadap kualiti, kos, tempoh siap dan keselamatan yang menepati aspirasi Program MYJalan. 

Selain itu, sebanyak 1,731 kontraktor layak yang memenuhi kriteria termasuk telah berdaftar dengan CIDB, memiliki Sijil Taraf Bumiputera (STB) dan mempunyai rekod prestasi yang baik telah menyertai proses cabutan undi hari ini yang dikendalikan Jawatankuasa Cabutan Undi yang dibuat secara telus dan dipancarkan secara langsung dalam talian disaksikan semua kontraktor.-BH Online