KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk mewartakan peraturan larangan pembelian minyak masak peket bersubsidi kepada bukan warganegara berkuat kuasa 1 Mac ini adalah satu anjakan strategik dalam memastikan bantuan kerajaan sampai kepada kumpulan sasar secara lebih efektif.
Pewartaan larangan berkenaan bukan sahaja bertujuan mengurangkan ketirisan bekalan yang sering dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab, tetapi juga menjadi mekanisme penting bagi memastikan kestabilan stok barangan keperluan asas itu dalam pasaran.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin menyokong penuh inisiatif terbabit dan berpendapat langkah pewartaan itu mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi golongan peruncit selama ini.
“Sudah tentu kita di Mydin menyambut baik pengumuman kerajaan kerana selama ini, minyak masak peket menjadi satu masalah untuk semua peruncit apabila barang tidak mencukupi dan kita pula terpaksa hadkan pembelian oleh pelanggan.
“Bukan sahaja Mydin, saya rasa semua peniaga memang sudah lama menunggu keputusan kerajaan kerana dengan pewartaan larangan itu, kita dapat mengatasi penyelewengan minyak masak dan hanya yang benar-benar layak dapat membeli,” katanya.
Ameer Ali turut memuji keberkesanan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang mampu menentukan kelayakan pembeli berdasarkan data kerajaan, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak yang tidak berhak.
Tambahnya, sistem digital lebih memudahkan urusan operasi pasar raya berbanding kaedah manual dengan pihak peruncit hanya berpandukan pangkalan data yang disediakan kerajaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI kerana berjaya menyelesaikan pelbagai isu rantaian bekalan barangan dan keperluan rakyat menerusi pelbagai mekanisme lain sebelum ini dengan berkesan.
Ia termasuk penyasaran subsidi elektrik, diesel, pengapungan harga ayam dan telur, serta penyasaran subsidi RON95 yang dilihat sebagai bukti komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini memaklumkan akan mewartakan peraturan larangan pembelian minyak masak peket bersubsidi kepada bukan warganegara mulai 1 Mac ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata peraturan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan dengan punca kuasa Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Peruntukan undang-undang berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan, dengan langkah itu akan memastikan barangan subsidi hanya dimanfaatkan warganegara dan tidak kepada warga asing.
Selain itu, Armizan berkata, KPDN juga sedang dalam fasa perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi mengintegrasi platform MyKasih sebagai antara opsyen pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh rakyat.
Kejayaan penggunaan MyKad bagi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 menjadi rujukan KPDN dalam pelaksanaan cadangan menggunakan kad pengenalan sebagai opsyen pembelian minyak masak peket bersubsidi.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Yong Eng Kwang turut menyambut baik usaha KPDN untuk mewartakan peraturan larangan pembelian minyak masak berkenaan kepada bukan warganegara.
Ia, katanya, membolehkan peruncit mempunyai asas perundangan jelas untuk menghalang penjualan kepada warga asing.
“Kerajaan telah memperuntukkan kuota sebanyak 60 juta peket minyak masak subsidi sebulan bagi kegunaan warga tempatan. Pewartaan larangan ini memberikan kejelasan undang-undang dan dasar sangat penting untuk peruncit menjual kepada warga tempatan sahaja,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO) 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad, berkata peruncit sering berdepan situasi sukar dan pertelingkahan di kaunter bayaran kerana tiada peraturan bertulis yang jelas.
“Apabila warta itu dikuatkuasakan, petugas peruncit hanya perlu mematuhi undang-undang sedia ada, sekali gus mengurangkan konflik dengan pelanggan dan membantu mengekang ketirisan subsidi,” katanya.
Pada masa sama, Eng Kwang menyifatkan sistem eCOSS yang digerakkan KPDN sebagai satu langkah berjaya memandangkan sistem berkenaan membolehkan rantaian bekalan dijejak secara menyeluruh daripada kilang, pembungkus semula, pemborong sehinggalah peringkat peruncit.
MRA juga, katanya, menyokong penuh pengumuman Armizan mengenai cadangan untuk mengintegrasikan sistem eCOSS dengan sistem MyKasih serta penggunaan kad pengenalan baharu dilengkapi ciri kod respons pantas (QR).
“Langkah itu mampu menyeragamkan proses jualan di semua premis peruncitan secara lebih telus,” katanya.
Reaksi positif turut dikongsi pengarah syarikat swasta, M Mavalavan, 53, yang menyifatkan langkah pewartaan itu sebagai tindakan yang adil buat pembayar cukai dan rakyat tempatan.-BH Online
