KUALA LUMPUR, 31 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada semua penganut Hindu yang meraikannya, esok.
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata Thaipusam penuh dengan makna pengorbanan, keinsafan dan kekuatan spiritual.
Menurut Datuk Seri Anwar, nilai kesabaran, disiplin dan ketekunan yang dizahirkan sepanjang ibadat itu wajar dihormati dan dihargai bersama.
“Semoga Thaipusam dapat dilaksanakan dengan penuh kesyukuran dan tertib, sambil sentiasa menjunjung adab serta nilai yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat.
“Ketertiban dan keharmonian yang kita saksikan setiap kali upacara keagamaan dan sambutan budaya di negara ini seharusnya menjadi cerminan bahawa hidup bersama dalam perbezaan bukan sesuatu yang asing, tetapi realiti yang telah lama membentuk jati diri Malaysia.
“Semoga Thaipusam membawa ketenangan jiwa buat seluruh penganut Hindu, serta terus menyuburkan rasa saling menghormati dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita,” katanya.-Berita RTM
