KUALA LUMPUR: Karnival Kuala Lumpur (KL) MADANI adalah antara platform utama kerajaan untuk mendekatkan dasar, perkhidmatan dan inisiatif kesejahteraan rakyat secara langsung kepada masyarakat bandar, bersempena dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata penganjuran karnival selama tiga hari bermula semalam di Stadium Bola Sepak KL itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan terus ke kawasan komuniti, antaranya Jualan Rahmah.
“Hari ini kita melancarkan Karnival Kuala Lumpur MADANI bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan (WP) dan pada masa sama Hari Terbuka Putrajaya turut berlangsung di Putrajaya. Banyak acara dianjurkan bagi meraikan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.
“Saya menjemput semua penduduk untuk hadir memeriahkan karnival ini hingga 1 Feb di stadium ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival KL MADANI di sini hari ini.
Sementara itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut menyerahkan Skim Lindung Kendiri kepada lapan penerima serta Skim Lindung Kasih kepada lima penerima yang layak pada majlis pelancaran berkenaan.
Selain itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan 1,000 unit bakul makanan keperluan asas kepada golongan asnaf dan miskin tegar yang boleh dituntut di kaunter MAIWP sepanjang karnival berlangsung.
“Sebanyak 200 bakul makanan tambahan turut disediakan, khusus untuk golongan miskin bukan Islam oleh Jabatan Wilayah Persekutuan, semakan kelayakan boleh dibuat melalui kaunter e-Kasih di reruai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang tiga hari penganjuran, Karnival KL MADANI menampilkan pelbagai pengisian termasuk Jualan Rahmah, aktiviti komuniti serta khidmat semakan dan nasihat oleh agensi kerajaan menerusi konsep pusat sehenti.
Kenduri Parlimen Bandar Tun Razak yang diadakan bersempena dengan karnival itu pula menjadi simbol kebersamaan masyarakat setempat menerusi konsep jamuan komuniti terbuka dan inklusif, selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan perpaduan dan kesejahteraan bersama.
Karnival itu turut dimeriahkan dengan Festival GastroSeni Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menggabungkan elemen gastronomi dan seni budaya tempatan sebagai identiti kosmopolitan ibu kota, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada peniaga dan penggiat seni tempatan.– BERNAMA
