KOTA TINGGI, 31 Januari- Tujuh projek pembangunan dilaksanakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Kampung Tuan Seh, Tanjung Sedili di sini menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM), sekali gus memanfaatkan kira-kira 1,000 penduduk.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelaksanaan projek itu melibatkan peruntukan tambahan RM500,000 daripada MINDEF, menjadikan jumlah keseluruhan dana berjumlah RM1.5 juta.
Antara projek dilaksanakan termasuk pembinaan mercu tanda kampung, kerja membaik pulih tadika KEMAS dan gelanggang bola tampar, serta pembinaan gelanggang futsal baharu.
Jelasnya, pelaksanaan program berkenaan dibuat selepas mengambil kira tahap liputan kemudahan asas di Kampung Tuan Seh yang berada di bawah 50 peratus.
“Saya percaya dasar dan matlamat Malaysia MADANI yang diterjemahkan melalui Program Kampung Angkat ini benar-benar dapat membawa kesejahteraan serta keadilan sosial kepada masyarakat yang tinggal jauh dari pusat pemerintahan,” katanya.
Datuk Seri Mohamed Khaled ditemui media pada Majlis Perasmian Program Kampung Angkat MADANI-MINDEF di Pantai Teluk Mahkota, Tanjung Sedili di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua projek di kampung itu dilaksanakan oleh kontraktor tempatan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Kampung Tuan Seh majoritinya didiami golongan nelayan, petani kecil dan buruh.-Berita RTM
