PUTRAJAYA: Wakil sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menerima baik hasrat kerajaan mewajibkan pengambilan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Menteri Pendidikan memaklumkan bahawa pada minggu ini diadakan pertemuan bersama wakil dari pelbagai pihak, wakil daripada sekolah antarabangsa, Maahad Tahfiz dan juga Dong Zhong yang mengangkat isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
“Jadi, Menteri Pendidikan memaklumkan bahawa pertemuan terbabit berjalan dengan sangat baik dan ada penyelarasan dari segi apa yang kerajaan berhasrat untuk laksana, diterima baik oleh semua pihak yang hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Fahmi berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) termasuk Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pula akan mengadakan pertemuan susulan bagi meneliti aspek laluan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
“Jadi ini selepas kedua-dua KPM dan KPT mengadakan perbincangan ini, Insya-Allah pihak KPM dan KPT akan mengeluarkan kenyataan susulan.
“Tapi maklum balas terkini yang diberi kepada Jemaah Menteri menunjukkan bahawa beberapa tindakan sedang diambil,” katanya.
Perdana Menteri ketika meluncurkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 mengumumkan semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah dalam aliran UEC, diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.
Beliau dilaporkan berkata, kontroversi berkaitan isu Bahasa Melayu akan dapat dileraikan dan hal berkaitan syarat kemasukan ke universiti awam (UA) tidak lagi berbangkit selepas ini.-BH Online
