Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Status sumber perikanan di perairan negara adalah antara faktor utama ketetapan pembekuan pengeluaran lesen vesel penangkapan ikan baharu bagi Zon A, B dan C diteruskan sejak 1983. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata ketetapan itu turut mengambil kira tahap tampungan bilangan vesel penangkapan ikan sedia ada beroperasi di perairan negara yang sudah mencapai tahap optimum.

Namun, katanya, lesen sampan khas di Zon A masih dikeluarkan Jabatan Perikanan dengan mengambil kira program pemutihan dijalankan bagi membatalkan lesen sedia ada yang tidak aktif dalam tempoh tiga tahun berturut-turut. 

“Pengisian lesen sampan khas ini akan mengisi kekosongan hasil pemutihan yang dijalankan. Permohonan lesen sampan khas ini masih boleh dibuat jika program pemutihan dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) mengenai alasan pembekuan pengeluaran lesen berkenaan sedangkan kebanyakan nelayan yang memohon memiliki sampan atau bot dan terdiri daripada golongan muda.

Sementara itu, Mohamad berkata, sebanyak 19,311 lesen sampan Zon A di seluruh negara dengan 915 daripadanya membabitkan kelulusan lesen sampan khas, pada 2024. 

Menerusi jumlah itu, katanya, sebanyak 31 lesen sampan khas diluluskan di Perak. 

“Sejak 1983, kementerian melalui Jabatan Perikanan membekukan pengeluaran lesen vesel tangkapan ikan baharu bagi Zon A, B dan C, menyebabkan tiada lesen baharu dikeluarkan jabatan berkenaan,” katanya.-BH Online