KOTA BHARU: Penetapan kadar tambang perjalanan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dibuat berdasarkan kajian menyeluruh oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan, kata Menteri Pengangkutan, AnthonyLoke.
Beliau berkata kadar tambang perlu ditentukan melalui kajian terperinci dan akan diumumkan beberapa bulan sebelum operasi bermula.
“Tambang sudah tentu kita akan umumkan sebelum tarikh pengoperasian ECRL. Namun, kita perlu mendapat kelulusan APAD.
“Sekarang ini, kita mahu memastikan kerja pembinaan dan pemasangan ECRL berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan ECRL Feeder Station 1 dan Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Pembinaan ECRL sepanjang 665 kilometer (km) mencatatkan kemajuan keseluruhan sebanyak 90.81 peratus setakat Disember 2025, sekali gus mengatasi sasaran projek sebanyak 90 peratus.
Loke berkata, sebelum operasi ECRL, pihaknya akan melakukan ujian pentauliahan secara menyeluruh.
“Ini penting bagi memastikan ECRL dapat berjalan dengan baik sebelum ia beroperasi sepenuhnya seawal Januari tahun depan.
“Kita harap semua memahami keadaan dan kita akan mengemaskini mengenai ECRL dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata, ECRL akan menerima 11 set kereta api dengan setiap satu set mempunyai enam gerabak yang akan sampai di Kuantan, Pahang dalam tempoh dua minggu lagi.
Pada perkembangan lain ketika ditanya mengenai titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mahu projek ECRL disambung sehingga ke Rantau Panjang, Loke berkata, perkara itu belum dibincangkan lagi.-BH Online
