Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 28 Januari – Segala kelompongan serta kelemahan yang mencemar integriti penguatkuasaan harus diperbetulkan tanpa berlengah.

Teguran keras Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pasukan penguatkuasa negara itu turut menekankan tindakan tegas perlu diambil tanpa memilih bulu.

Beliau menegaskan, sebarang kegiatan penyeludupan, rasuah dan aktiviti gelap tidak boleh dinormalisasikan, apatah lagi jika berlaku akibat kelonggaran atau perlindungan oleh mereka yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang.

Datuk Seri Anwar berucap demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasaan Berkaitan Jenayah Kewangan di sini, hari ini.

Menurut beliau, perbuatan melindungi kegiatan haram disifatkan sebagai satu pengkhianatan terhadap negara dan rakyat.

“Saya menegaskan bahawa tiada lagi ruang untuk sikap sambil lewa, kompromi murahan atau tolak ansur terhadap sebarang bentuk pengkhianatan amanah. Tindakan tegas mesti diambil tanpa memilih bulu.

“Sekiranya amanah yang dipikul dirasakan terlalu berat, atau godaan serta tekanan luar menimbulkan keraguan untuk bertindak tegas dan berprinsip, maka berterus teranglah dan berilah laluan kepada individu lain yang lebih bersedia, berani dan berintegriti untuk memikul tanggungjawab ini.

“Harus diingat, jawatan yang disandang bukan perhiasan atau keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang menuntut keberanian membuat keputusan yang benar walaupun tidak popular dan sarat dengan risiko,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru setiap agensi penguatkuasaan membuktikan perubahan melalui tindakan, disiplin dan ketelusan, selaras dengan tuntutan rakyat yang mahukan pembaharuan sebenar, bukan sekadar retorik.-Berita RTM