KUALA LUMPUR, 29 Januari – Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) akan menjadi teras utama dalam memacu transformasi sektor agromakanan negara bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan untuk rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dasar itu menetapkan hala tuju agenda keterjaminan negara dalam berdepan ketidaktentuan global yang semakin mencabar.
“Hari ini, kita bukan sekadar meluncurkan sebuah dokumen dasar, tetapi kita sedang menetapkan hala tuju agenda keterjaminan negara melalui Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 di ibu negara sebagai komitmen kerajaan memastikan sistem bekalan makanan negara kekal mampan dan berdaya tahan.
Menurut Datuk Seri Fadillah, dunia kini berdepan dengan situasi Volatility, Uncertainty, Complexitydan Ambiguity (VUCA) akibat perubahan iklim ekstrem, konflik geopolitik serta gangguan rantaian bekalan global yang memberi kesan langsung terhadap sistem makanan dunia.
Sehubungan itu, Malaysia memerlukan polisi jangka panjang yang komprehensif bagi memastikan negara kekal berdaya tahan.
“Melangkah ke hadapan, DKMN 2030 menjadi paksi utama dalam memacu transformasi sektor agromakanan demi memastikan ketersediaan bekalan yang mencukupi, keselamatan makanan yang terjamin bagi setiap rakyat Malaysia serta kestabilan dan kemampanan alam sekitar demi kelestarian sistem makanan negara,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan kini sedang menggubal Akta Keterjaminan Makanan Negara sebagai langkah strategik memperkukuh kedaulatan makanan negara.
“Kerajaan kini sedang menggubal Akta Keterjaminan Makanan Negara yang akan menjadi asas perundangan kukuh bagi memelihara kedaulatan makanan kita,” katanya.
Keterjaminan makanan bukan tanggungjawab satu kementerian semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society.-Berita RTM
