Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGE TOWN, 28 Januari – Keperluan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah bagi sistem pendidikan yang tidak berteraskan kurikulum kebangsaan akan diperincikan menerusi satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Perkara itu akan dimuktamadkan selepas perbincangan bersama Kementerian Pendidikan bagi memastikan keselarasan dasar dan hala tuju pendidikan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, keperluan tersebut tidak tertumpu kepada satu sistem pendidikan sahaja seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sebaliknya melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama serta institusi lain yang berada di luar kurikulum nasional.

Beliau menjelaskan pendekatan kerajaan bersifat menyeluruh bagi memastikan kepentingan sistem pendidikan negara terus dipelihara secara holistik, selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi pihak tertentu yang ingin mendapatkan penjelasan mengikut bidang masing-masing, perkara itu akan dibuat secara rasmi. Saya dimaklumkan bahawa Menteri Pendidikan telah mengadakan perbincangan bersama badan-badan berkaitan dan selepas itu kami akan duduk berbincang bersama.

“Terdapat kursus serta tawaran yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan, justeru kita tidak mahu berlaku perbezaan keputusan antara kementerian. Keputusan perlu dibuat secara bersama selepas perbincangan dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Datuk Seri Dr Zambry berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Utara di Panggung Palinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Azlinda Azman dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Seri Dr Ir. Abdul Rahman Mohamed.

Mengulas pandangan pihak tertentu yang membantah cadangan berkenaan, beliau berkata setiap pandangan akan didengari, namun keputusan akhir akan mengambil kira kepentingan keseluruhan rakyat dan negara.-BH Online