Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR 29 Januari – Seramai 200 peserta terpilih menyertai Program Ilham Seni Diraja yang merupakan inisiatif khas bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja daripada golongan B40 untuk mengembangkan bakat serta potensi diri melalui seni dan budaya.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia menzahirkan harapan agar program berkenaan menjadi platform positif kepada generasi muda, khususnya mereka yang kurang berpeluang meneroka minat dan hobi di luar persekitaran sekolah.

“Program ini menghimpunkan penggiat seni dan budaya tanah air sebagai mentor bagi membimbing peserta dalam pelbagai cabang kesenian termasuk muzik, tarian dan seni persembahan.

“Ia sekali gus memberi pendedahan secara langsung kepada dunia seni profesional,” demikian titah baginda semasa Majlis Pelancaran Program Ilham Seni Diraja di Istana Negara hari ini.

Program tersebut diwujudkan bagi memastikan golongan muda tidak sekadar bersekolah dan pulang ke rumah tanpa ruang untuk mengasah bakat khususnya mereka yang cenderung dalam bidang seni.

Baginda turut menegaskan bahawa seni dan budaya berperanan penting dalam pembentukan jati diri, kesihatan mental serta hala tuju masa depan kanak-kanak dan remaja, selari dengan usaha melahirkan generasi seimbang dari segi emosi dan sosial.

“Selain pembangunan bakat individu, Program Ilham Seni Diraja juga dilihat sebagai medium memperkukuh perpaduan melalui penghayatan seni budaya berbilang kaum, mencerminkan keunikan fabrik sosial masyarakat Malaysia,” titah baginda.

Raja Permaisuri Agong berharap program itu dapat membuka minda generasi muda dan ibu bapa terhadap kepentingan seni budaya sebagai satu laluan pembangunan diri dan kerjaya, di samping memelihara warisan budaya negara.

Peserta terpilih akan mengikuti latihan dan pembelajaran merangkumi enam kluster utama, iaitu Kluster Seni Suara dan Instrumen, Kluster Seni Tari, Kluster Produksi dan Pengurusan Pentas, Kluster Artistik serta Kluster Lakonan.-Berita RTM