SEMENYIH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tanah rizab Melayu yang diambil untuk tujuan pembangunan di Semenyih akan diganti dan tidak akan hilang secara kekal atas nama kemajuan infrastruktur.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan sudah menerima jaminan daripada kerajaan negeri Selangor bahawa tanah gantian akan disediakan di mana-mana tanah rizab Melayu yang terjejas akibat projek pembangunan.
“Saya tidak akan berkompromi mengenai tanah rizab Melayu. Jika tanah rizab Melayu perlu diambil untuk pembangunan, seperti pembinaan jalan, ia mesti diganti.
“Inilah jaminan daripada Menteri Besar Selangor,”katanya dalam ucapan perasmian Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih, di Kampung Sungai Pening, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Pengasas KHK Land, Tan Sri Kong Hon Kong.
Beliau berkata, inisiatif itu direka khusus untuk mempercepatkan pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk, termasuk pembinaan Laluan Pintas Semenyih dan pembangunan 100,000 lot perkuburan Islam yang memerlukan perancangan rapi kerana membabitkan tanah rizab.
“Projek seperti ini, apabila diselesaikan melalui tolak ansur, memberi manfaat terus kepada masyarakat. Ia sering membabit kawasan sensitif, termasuk tanah rizab Melayu.
“Tetapi saya bersyukur kerana dalam proses ini, kita dapat menangani isu berkaitan tanah perkuburan dan pembangunan,” katanya.
Katanya, pembinaan lot perkuburan adalah penting kerana kekurangan kemudahan seperti itu di Kuala Lumpur yang memerlukan lokasi baharu.
“Anggaran jumlah kematian dalam lima tahun akan datang dijangka melebihi 3,000 orang setahun.
“Ini menimbulkan keperluan mendesak untuk menyediakan ruang tambahan kerana kemudahan sedia ada di Wilayah Persekutuan tidak mampu menampung permintaan.
“Kita menganggarkan baki lot perkuburan di Kuala Lumpur hanya mencukupi untuk sekitar tiga tahun, paling lama empat tahun sahaja.
“Disebabkan itu, projek ini dipercepatkan. Selepas siap, ia akan memenuhi keperluan jangka panjang bandar ini.
“Sekitar 100,000 lot perkuburan akan dibina. Saya percaya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memastikan perancangan dibuat dengan baik, termasuk akses dan pengurusan laluan, supaya pengguna tidak terganggu,” katanya.
Projek Laluan Pintas Semenyih adalah kerjasama strategik antara KHK Land dan kerajaan Persekutuan yang menjadi pemacu utama inisiatif berkenaan.
Laluan sepanjang 4.3 kilometer dan empat lorong itu akan menghubungkan Semenyih ke Lebuhraya SILK dan enam lebuh raya utama lain, termasuk LEKAS dan CKE.
Inisiatif berkenaan dijangka bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas tempatan tetapi juga memendekkan masa perjalanan ke Kuala Lumpur daripada 45 minit kepada hanya 20 minit.
Selain sebagai projek mobiliti, laluan pintas ini mencerminkan visi pembangunan inklusif yang lebih luas, bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial jangka panjang di kawasan berkenaan.
Dijadual siap pada 2027, laluan pintas berkenaan akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan mobiliti, menyokong pertumbuhan seimbang, dan meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan, terutamanya bagi komuniti di Semenyih.-BH Online
