KUALA LUMPUR, 28 Januari– Projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) mencatat kemajuan 75.75 peratus setakat 25 Disember tahun lalu, berbanding perancangan asal 81.57 peratus.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi kapal pertama, LCS-1, kemajuan semasa adalah 82.90 peratus berbanding 96.52 peratus yang dirancang.
Jelas beliau, kemajuan tersebut melibatkan pembinaan struktur kapal, pemasangan peralatan utama serta integrasi sistem.
Menurutnya, LCS-1 telah berjaya diluncurkan ke air dan kini berada dalam fasa pemasangan serta integrasi sistem utama kapal.
“Fasa ujian laut bagi kapal LCS-1 di peringkat limbungan telah bermula sejak 20 Januari lepas dan seterusnya akan memulakan seagoing (perjalanan laut) pertama pada hari ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, fasa perjalanan laut itu bertujuan menguji sistem jentera, jana kuasa, pendingin hawa dan sistem pendorongan sebelum ujian laut penuh dimulakan pada awal April 2026.
Susulan kelewatan keseluruhan projek, jadual pentauliahan LCS-1 dipinda ke Disember 2026, manakala LCS-2 ke Ogos 2027, dengan kapal-kapal seterusnya mengikut jadual yang telah ditetapkan.-Berita RTM
