KUANTAN, 28 Januari – Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah meminggirkan agenda untuk memperkasa dan meningkatkan syiar Islam di negeri itu.
Malah, peruntukan bagi tujuan tersebut sentiasa ditingkatkan setiap tahun sebagai komitmen berterusan terhadap pembangunan dan kemajuan Islam di Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejak 2022, kerajaan negeri telah memperuntukkan dana yang besar bagi memperkasa syiar Islam di Pahang melalui Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) dan agensi berkaitan.
Beliau menjelaskan, peruntukan bagi tujuan tersebut meningkat daripada RM147 juta pada 2022 kepada RM148 juta pada 2023, diikuti RM162 juta (2024) dan RM196 juta tahun lalu.
Jumlah berkenaan terus meningkat tahun ini iaitu RM235 juta sekali gus menunjukkan komitmen berterusan untuk menyokong pelbagai program pembangunan Islam di Pahang.
“Ini bermakna apa yang kerajaan negeri uruskan selain beri bantuan kepada ibu tunggal dan anak-anak untuk masuk universiti termasuk bantuan bencana, kita juga berusaha untuk meningkatkan syiar islam di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemarlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang Kali Ke-24 di Kuantan, Pahang.
Seramai 586 pelajar, 53 guru dan 18 buah SMAN diraikan dalam majlis terbabit.-Berita RTM
