KUALA LUMPUR: Skim Lindung 24/7 yang diwujudkan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang diluluskan di Parlimen pada bulan lalu, dijangka bermula seawal suku kedua tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata skim itu perlu direncana dengan cermat bagi memastikan manfaatnya diterima seluruh pekerja dan rakyat di negara ini.
“Kita merancang skim ini dilaksanakan pada suku kedua atau suku ketiga tahun ini dan kita kena ambil langkah-langkah yang cermat dan betul. Ia perlu bergerak selari dengan program-program sedia ada.
“Kita bersedia untuk melaksanakan skim ini dan saya sahkan ia akan bermula pada tahun ini juga,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Media Luncheon Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ‘Lindung Sahabat’, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal serta Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Majlis dihadiri lebih 200 pengamal media mewakili pelbagai agensi, termasuk Pengarang Kumpulan BH, Zulkifli Jalil; Timbalannya, M Thillinadan dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran), Nazarudin Abu Bakar, selain Timbalan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Sharanjit Singh Tara Singh.
Sesi berkenaan turut memberi peluang wakil media berkongsi pandangan mengenai situasi media semasa, termasuk cabaran dalam melaksanakan tugas kewartawanan.
RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 diluluskan Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu, antara lain bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24/7 iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa, termasuk di luar waktu bekerja yang bakal memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.
Pelaksanaan skim berkenaan bagi mengelak situasi ribuan keluarga yang terpaksa menanggung sendiri kos rawatan dan segala perbelanjaan pemulihan, hanya kerana kemalangan berlaku di luar waktu kerja.-BH Online
