Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan RM850,000 bagi melaksanakan 17 Projek Jiwa MADANI di negeri ini, tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata program berkenaan dilaksanakan secara gotong-royong di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk setempat bagi memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.

Beliau berkata, projek pertama di Melaka ialah pembinaan pagar baharu di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najwan, Kampung Cheng, di sini yang membabitkan peruntukan berjumlah RM50,000.

“Jiwa Murni MADANI atau dikenali Jiwa MADANI adalah antara komponen penting dalam usaha memperkukuh kerjasama antara anggota tentera dan orang awam dan menerusi program ini, kementerian akan mengenal pasti kampung atau kawasan yang memerlukan bantuan sebelum menyalurkan sumbangan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan replika cek bagi pelaksanaan Projek Jiwa Madani Kementerian Pertahanan 2026 serta bantuan kit makanan kepada golongan kurang bernasib baik di masjid berkenaan, hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman serta Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, program itu bukan sahaja mencerminkan keprihatinan ATM terhadap masyarakat, bahkan dapat memperkukuh kerjasama awam dan tentera dalam menjaga keamanan negara.

Katanya, pendekatan berkenaan selari dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menuntut pembabitan rakyat sebagai rakan strategik ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Kita mahukan sesuatu yang boleh dirasai, boleh dilihat dan memberi kesan berkekalan. Sebab itu pendekatan ini dipilih dengan peruntukan sepenuhnya disalurkan oleh MINDEF dan ATM.

“Program seperti sukan atau aktiviti kemasyarakatan lain tidak menjadi masalah untuk disertai ATM, namun melalui program ini, saya ingin mengambil kesempatan memaklumkan kerajaan negeri juga boleh memainkan peranan besar.

“Sekiranya terdapat program atau projek yang belum dilaksanakan bagi menyokong dan merealisasikan matlamat HANRUH, ATM bersedia untuk bekerjasama dan melaksanakan projek secara gotong-royong bersama masyarakat setempat dengan peruntukan disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya.-BH Online