KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji strategi serta langkah bagi membuat tuntutan ke atas kos dan kerugian ditanggung negara dalam kes tuntutan kumpulan Sulu yang berakhir dengan kemenangan besar kepada negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ini mengambil kira kerugian secara langsung dan tidak langsung ditanggung negara yang disifatkan sebagai sangat tinggi.
“Dalam perkembangan terkini, Mahkamah Rayuan Perancis baru-baru ini telah membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ dalam tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.
“Kemenangan ini sekali gus menamatkan semua cubaan tidak berasas daripada penuntut Sulu serta pembiaya litigasi mereka untuk memeras wang dan aset daripada rakyat Malaysia. null
“Walaupun penimbang tara telah dikenakan hukuman penjara akibat melanggar perintah mahkamah dalam kes ini, kerugian secara langsung dan tidak langsung yang ditanggung Malaysia adalah sangat tinggi,” katanya dalam jawapan lisan disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, (GRS-Keningau) yang ingin tahu adakah kerajaan akan mengambil semua tindakan diperlukan, selaras keputusan Mahkamah Agung Perancis baru-baru ini yang menolak tuntutan Sulu, termasuk menghentikan segala bayaran pajakan kepada waris Sulu dan atau kerajaan Filipina.
Sehubungan itu, Azalina berkata, kerajaan MADANI sedang mengkaji strategi serta
langkah untuk menuntut kembali kos dan kerugian yang ditanggung Malaysia dalam kes terbabit.
Azalina turut menegaskan, kerajaan sudah menghentikan sepenuhnya sebarang bayaran kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu sejak 2013.
Jelasnya, keputusan itu dibuat susulan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu yang mencabuli kedaulatan negara dan mengorbankan 10 wira negara.
“Kerajaan menegaskan bahawa tiada lagi sebarang obligasi bayaran akan dibuat kepada mana-mana pihak, sama ada individu mahupun pihak asing kerana kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia adalah mutlak dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus mengambil segala langkah yang perlu, sama ada melalui saluran perundangan antarabangsa mahupun diplomasi bagi memastikan isu ini diselesaikan secara tuntas dan tidak lagi mengganggu gugat kepentingan negara pada masa hadapan,” katanya.
Untuk rekod, Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ yang dikeluarkan oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022 berjumlah AS$14.9 bilion (RM59.09 bilion) kepada penuntut Sulu itu.
Mahkamah itu juga mengarahkan penuntut Sulu membayar kos berjumlah €200,000 (RM939,840) kepada Malaysia.-BH Online
