Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin semua agensi kerajaan dalam negara mampu memungut dana yang hilang dan tiris melebihi angka RM15.5 bilion yang berjaya diselamatkan setakat ini.

Perdana Menteri berkata, walaupun ramai kakitangan kerajaan yang berkhidmat dengan cemerlang, masih ada bibit-bibit kerosakan dan kepincangan dalam agensi kerajaan terutama yang melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, sehingga berlaku ketirisan.

Anwar berkata, berikutan kelemahan dalam sistem yang digunakan dalam agensi kerajaan, ia membuka peluang kepada segelintir pihak menggunakan kelompongan itu untuk menyebabkan kehilangan dana yang sepatutnya dimanfaatkan untuk rakyat. 

Katanya, hasil kerjasama semua agensi, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai tonggak dengan bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), membolehkan kutipan dana tambahan sejumlah RM15.5 bilion sejak dua tahun kebelakangan ini, daripada hasil yang dirompak.

“Saya tidak boleh menafikan, bahawa saya sebagai anak Malaysia, bangga dengan prestasi Kastam Diraja. 

“Dalam dua tahun lebih kita berjaya menghasilkan tambahan RM15.5 bilion. Itu kerana rakyat, hak kita, hak rakyat yang dirompak kerana sistem kita masih belum kemas sehingga memungkinkan ada kelompok yang mencari kesempatan, menyebabkan ketirisan, kehilangan dana. 

“Kalau tanya saya, adakah ini mencukupi, saya tidak yakin jumlah ini adalah RM15.5 bilion,” katanya pada Sambutan Hari Kastam Sedunia 2025, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Justeru, Perdana Menteri berkata, kerajaan sebagai sebuah keluarga termasuk Kastam, menerima cabaran untuk mengembalikan wang yang tiris, hilang atau dicuri, sekali gus mampu menyelamatkan bangsa dan negara ini.

Anwar berkata, peringatan itu mewakili semua pihak yang menaruh keyakinan serta benar-benar percaya bahawa apabila manusia diingatkan, mereka mampu memperbaiki kelemahan diri.-BH Online