KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menyasarkan untuk mempercepat tempoh hebahan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami daripada lapan kepada enam minit selepas kejadian dikesan, bermula tahun ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata pada masa sama, ketepatan ramalan cuaca juga akan ditingkatkan, daripada 82 kepada 85 peratus.
Katanya, langkah itu adalah seiring komitmen berterusan kementeriannya dan METMalaysia dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana.
“Sebagai usaha kesiapsiagaan dan tindak balas, METMalaysia mengoperasikan Sistem Amaran Awal (EWS) secara berterusan 24 jam, amaran tepat pada masanya dan penyelarasan berterusan dengan agensi pengurusan bencana peringkat negara dan negeri.
“Semua inisiatif ini membuktikan METMalaysia bukan saja mengukuhkan rangkaian pengesanan dan ramalan bencana cuaca, gempa bumi dan tsunami tetapi juga meningkatkan keberkesanan EWS dalam memberi makluman yang cepat, tepat dan menyeluruh kepada seluruh rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai sejauh mana keberkesanan EWS dalam memberi makluman secara pantas dan menyeluruh berkaitan ancaman bencana, terutama di kawasan luar bandar.
Arthur memaklumkan, kerajaan juga memperuntukkan RM242 juta, merangkumi pelaksanaan beberapa projek peningkatan sistem ramalan dan pembinaan radar cuaca, selain RM18 juta bagi pembangunan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
METMalaysia juga katanya, memperkukuh keupayaan ramalan cuaca melalui penambahbaikan Radar Integrated Nowcasting System (RaINS) yang mengintegrasikan rangkaian radar dan model ramalan berangka bagi menghasilkan unjuran pergerakan serta intensiti hujan secara hampir masa nyata.
“Pada masa sama, sistem Numerical Weather Prediction (NWP) turut dipertingkat dengan penggunaan teknologi High Performance Computing (HPC) terkini serta penerapan kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan analitik data raya.
“Pengukuhan ini membolehkan penjanaan ramalan cuaca sehingga 14 hari ke hadapan dengan resolusi lebih tinggi, iaitu 300 meter, berbanding satu kilometer (km) sebelum ini.
“Keupayaan ini membolehkan perincian corak cuaca di kawasan berisiko tinggi dikenal pasti dengan lebih awal, tepat dan bersasar, termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.-BH Online
