Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG, 26 Januari – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1) hari ini memulakan pelaksanaan laluan hijau bagi penumpang antarabangsa sebagai langkah mempercepatkan pergerakan serta mengurangkan kesesakan di balai ketibaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu hasil kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Menurut beliau, sebelum ini semua penumpang perlu melalui satu laluan pemeriksaan kastam yang sering menyebabkan barisan panjang, khususnya pada waktu puncak.

“Dengan pelaksanaan ini, penumpang yang tidak membawa barangan untuk diisytiharkan boleh terus menggunakan laluan hijau tanpa melalui pemeriksaan mesin pengimbas, manakala penumpang yang perlu membuat pengisytiharan akan melalui laluan merah,” katanya selepas mengadakan tinjauan sempena pelaksanaan laluan hijau di KLIA T1 hari ini.

Beliau menegaskan, pelaksanaan laluan hijau ini tidak mengkompromikan keselamatan negara kerana pemeriksaan masih dibuat berdasarkan penilaian risiko dan risikan penumpang.

Selain itu, penumpang yang dikenal pasti berisiko tinggi masih boleh diarahkan ke laluan merah walaupun telah memasuki laluan hijau.

Pelaksanaan ini akan melalui tempoh percubaan selama sebulan bermula hari ini hingga 26 Februari bagi menilai keberkesanan sistem sebelum prosedur operasi standard (SOP) dimuktamadkan.

“Dalam tempoh ini, semua agensi terlibat akan meneliti sebarang penambahbaikan sebelum pelaksanaan diperluaskan ke Terminal 2 dan lapangan terbang antarabangsa lain,” katanya.

Tambah beliau, KLIA T1 merekodkan antara 80,000 hingga 90,000 penumpang sehari, dengan kira-kira 60 peratus penumpang antarabangsa, sekali gus memerlukan sistem yang lebih cekap dan lancar.

Pelaksanaan laluan hijau ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi lapangan terbang serta memperbaiki pengalaman penumpang, khususnya menjelang peningkatan ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.-Berita RTM