Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sejumlah besar daripada 25 negara yang mengenakan nasihat perjalanan tahap tiga iaitu mengelak perjalanan tidak perlu kepada rakyat mereka untuk melawat pantai timur Sabah, kini menurunkannya ke tahap dua (meningkatkan kewaspadaan), susulan tahap keselamatan di kawasan itu yang semakin terjamin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, tiada lagi laporan mengenai insiden penculikan untuk wang tebusan diterima, yang sebelum ini berleluasa di kawasan perairan timur Sabah.

Katanya, ia adalah hasil penubuhan pasukan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang bertanggungjawab menjaga keselataman di kawasan itu, sekali gus mengatasi insiden penculikan dan rompakan oleh lanun.

“Tidak ada laporan adanya berlaku rompakan, lanun datang mengganas di pulau atau di kawasan daratan di Timur Sabah.

“Alhamdulillah, daripada 25 buah negara itu, banyak negara yang sudah pun mengurangkan tahap nasihat perjalanan kepada rakyat mereka, daripada tahap tiga ke tahap dua. Maknanya boleh dilawati tapi masih lagi disebut supaya berhati-hati,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Vernon Bahanda (BEBAS-Kudat) mengenai usaha kerajaan untuk menukar status nasihat perjalanan di pantai timur Sabah oleh negara seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Korea Selatan bagi meningkatkan produktiviti dan ketibaan pelancong di Sabah.

Menjawab soalan tambahan Vernon mengenai usaha kementerian untuk terus mempromosi keselamatan dan bekerjasama dengan negara yang mengeluarkan nasihat perjalanan supaya ia dapat ditamatkan sepenuhnya, Mohamad memaklumkan, kementeriannya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melaksanakan usaha meyakinkan negara berkenaan, termasuk dalam perbincangan dua hala dan pelbagai hala.

“Kami membentangkan betapa keadaan di Timur Sabah ini sudah menjadi kawasan yang bukan lagi seperti dulu.

“Kita bawa perwakilan asing yang berada di Kuala Lumpur ini, terutama negara yang mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat mereka, ke sana setiap tahun untuk pastikan mereka dapat melihatnya sendiri.

“Hasil pengawasan dan kawalan keselamatan, khususnya di Kudat, Semporna dan Lahad Datu, kawasan Timur Sabah kini menjadi tumpuan pelancong, termasuk daripada negara yang mengenakan nasihat perjalanan, seperti Jepun dan Korea Selatan,” katanya.-BH Online