Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUTTERWORTH: Keikhlasan seorang jururawat menyuapkan makanan kepada pesakit warga emas berbangsa India yang tular menerusi media sosial baru-baru ini, membuktikan ihsan dan kemanusiaan mengatasi perbezaan agama serta kepercayaan.

Sikap terpuji jururawat itu, Nur Deena Nadzhiefa, mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang memberikan pengiktirafan kepadanya ketika mengadakan kunjungan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sempena majlis perasmian bangunan baharu hospital itu, semalam.

Dzulkefly berkata, video itu benar-benar menjentik perasaan dan mendorong beliau bertemu sendiri dengan jururawat terbabit.

“Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya berbanding nilai ihsan yang Nur Deena Nadzhiefa tunjukkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Baru-baru ini, tular menerusi media sosial rakaman seorang jururawat menyuap makanan menggunakan tangan kepada seorang pesakit berbangsa India di sebuah hospital.

Rakaman berdurasi 41 saat itu meruntun jiwa ramai dengan warganet memuji sikap jururawat terbabit dan menyatakan rasa terharu dengan keikhlasan serta empatinya dalam mengurus pesakit meskipun berbeza agama.

Dzulkefly berkata, sikap Nur Deena Nadzhiefa membuktikan penyembuhan di hospital bukan saja bergantung kepada pil atau suntikan, tetapi juga lahir daripada layanan penuh empati dan kasih sayang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Nur Deena Nadzhiefa kerana menghidupkan semangat ‘Malaysia’ dalam tugas seharian dan berharap nilai murni yang ditonjolkan itu dapat menjadi inspirasi serta contoh kepada seluruh warga kesihatan.-BH Online