Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Mandat yang diberikan rakyat diharap dimanfaatkan sebaiknya Mohd Kurniawan Naim Moktar dan Mohd Ismail Ayob selepas masing-masing memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, semalam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Mohd Kurniawan Naim dan Mohd Ismail akan memperjuangkan suara rakyat serta memacu pembangunan di kawasan itu.

Katanya, pada masa sama, mereka akan berusaha memastikan kestabilan dan kemajuan Kinabatangan serta Lamag dicapai demi masa depan yang lebih makmur dan sejahtera.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Parlimen Kinabatangan (Mohd Kurniawan Naim) dan calon DUN Lamag (Mohd Ismail) di atas kemenangan yang diraih.

“Kemenangan ini hasil kepercayaan rakyat dan amanah besar untuk terus berkhidmat penuh dedikasi demi kesejahteraan penduduk di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamaq.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga ditujukan kepada pengundi dan seluruh jentera BN yang berusaha gigih memastikan kemenangan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada PRK Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim menang dengan majoriti 14,214 undi menewaskan dua pencabarnya iaitu Datuk Saddi Abdul Rahman daripada Parti Warisan dan calon Bebas, Goldam Hamid.

Di DUN Lamag, Mohd Ismail memperoleh 5,681 majoriti undi menewaskan Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lalu.-BH Online