Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung semalam.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap usaha, khidmat serta komitmen yang ditunjukkan BN di peringkat akar umbi.

“Tahniah kepada YB Parlimen Kinabatangan dan YB DUN Lamag yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar serta Mohd Ismail Ayob atas kemenangan ini.

“Didoakan agar legasi khidmat dan kepemimpinan Allahyarham Bung Moktar Radin terus dipelihara sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kemenangan ini wajar ditanggapi dengan sikap tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan yang berintegriti serta tahap khidmat yang berkesan.

“Ia juga memerlukan keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan bagi memastikan pembangunan di Sabah dapat diperkukuh secara berterusan.

“Kesejahteraan rakyat terus dipelihara dan agenda yang MADANI dapat dijelmakan dengan tekad secara bersama,” katanya.

Semalam, keputusan PRK bagi Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd Kurniawan Naim berjaya mempertahankan kerusi yang disandang ayahnya sejak 1999 dengan meraih 14,214 majoriti undi menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (WARISAN) dan Goldam Hamid (Bebas).

Mohd Ismail pula mengekalkan kerusi DUN Lamag untuk BN apabila memperoleh majoriti undi 5,681 menewaskan pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek daripada WARISAN.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Bung Moktar, 66, pada 5 Disember lalu.-BH Online