Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Pelaksanaan konsep ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan UMNO dijangka menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai medan awal penilaian keberkesanan pendekatan itu.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perincian konsep Rumah Bangsa dalam konteks PRN itu masih belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan secara terperinci dalam masa terdekat.

Katanya, perbincangan teliti akan dibuat sejurus kepulangan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh daripada lawatan kerja ke China, minggu depan.

“Kita belum membincangkan perinciannya dengan Datuk Seri Ab Rauf dan apabila beliau kembali (dari China), kita akan perincikan apakah metodologi yang perlu dilaksanakan bagi menterjemahkan konsep Rumah Bangsa dalam konteks PRN Melaka,” katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di Kampung Alai di sini hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kanan Negeri merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rais Yasin dan EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri yang juga Ketua UMNO Kota Melaka, Datuk Abd Razak Abd Rahman.

PRN Melaka hampir pasti diadakan tahun ini berikutan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berakhir hujung tahun ini.

PRN ke-15 pada 21 November 2021 selepas kerajaan negeri ketika itu hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyebabkan Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Cadangan konsep Rumah Bangsa dikemukakan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Jumaat minggu lalu.

Beliau dilaporkan berkata, UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak, sama ada secara individu atau secara`en-bloc’.

Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang ditubuhkan bagi memperkukuh agenda penyatuan politik Melayu serta membuka ruang penyertaan lebih luas ke dalam UMNO.

Selain itu, veteran UMNO, Tan Sri Abdul Ghani Othman pula dilantik menerajui Musyawarah Nasional, jawatankuasa khas bagi membincangkan agenda politik Melayu secara menyeluruh merangkumi kedudukan Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan serta masa depan generasi Melayu.-BH Online