IPOH, 24 Januari – Kementerian Perpaduan Negara akan memastikan semua Tabika Perpaduan di seluruh negara dilengkapi keperluan sewajarnya susulan pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun bermula tahun hadapan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah penyelarasan pendidikan prasekolah itu bertujuan memastikan kualiti dan standard pendidikan awal kanak-kanak di Tabika Perpaduan dapat diseragamkan di seluruh negara.
Sebanyak 1,781 buah Tabika Perpaduan akan terlibat dan pihak kementerian bersedia memberi kerjasama sekiranya sistem prasekolah diselaraskan sepenuhnya bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
“Kita akur sekiranya kerajaan menetapkan sedemikian kerana setiap pelaksanaan dibuat bagi keperluan menyelaras sistem pendidikan di seluruh negara. Saya berpandangan inisiatif kerajaan itu adalah baik dan wajar kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan cek cura Peruntukan Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI Tahun 2026 (Kluster Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional) Peringkat Negeri Perak di Pusat Nadi Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 di sini.
Pada program itu beliau turut menyerahkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada 10 wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Ipoh.
Penyelarasan sistem prasekolah itu dijangka meningkatkan keberkesanan pendidikan awal kanak-kanak secara lebih menyeluruh dan bersepadu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sambutan terhadap Tabika Perpaduan amat menggalakkan apabila majoriti pusat berkenaan telah mencapai kapasiti penuh. Setakat ini, seramai 33,000 kanak-kanak telah mendaftar di Tabika Perpaduan di seluruh negara.-Berita RTM
