KUALA LUMPUR, 24 Januari – Keputusan Jemaah Menteri menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dibuat bagi memberi ruang kepada kerajaan mengambil kira saranan pelbagai pihak sebelum dibentangkan semula di Parlimen.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penarikan itu juga bagi memastikan ia dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan adil.
“Penangguhan itu dibuat kerana bil atau akta yang ada perlu mengambil kira 14 saranan di Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar anjuran UMNO Wilayah Persekutuan.
“Ia disertai oleh banyak NGO dan ahli-ahli profesional serta individu yang mahu memperkukuhkan RUU URA sebelum ia dibentangkan semula di Parlimen dalam sidang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Perdana Ulang Tahun Ke-50 Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia di Malaysia (PAPTI) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Terdahulu, media melaporkan RUU PSB 2025 atau Urban Renewal Act (URA), ditarik balik bagi membolehkan penambahbaikan menyeluruh dilakukan sebelum dibentang semula di Parlimen.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Kabinet secara dasar bersetuju bahawa wujud keperluan untuk menambah baik RUU itu bagi membolehkan isu perumahan di kawasan bandar khususnya yang berkait dengan miskin bandar diatasi secara tuntas dan adil.-Berita RTM
