Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Isu berkaitan autonomi kesihatan Sabah dan Sarawak akan diperincikan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perubahan komposisi Kabinet baru-baru ini menyebabkan perkara itu perlu dibincangkan semula.

Justeru katanya, Jawatankuasa Teknikal MA63 akan memperhalusi perkara itu sebelum membawanya ke majlis perundingan tertinggi MTPMA63.

“Kita sudah ada Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang baharu (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud, jadi kita akan mengadakan mesyuarat semula sebelum membawanya ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Shell LiveWIRE Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian baru-baru ini yang meminta meminta supaya Jawatankuasa Teknikal MTPMA63) disusun semula dengan membabitkan secara langsung Kementerian Kewangan (MOF) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, ketika ini MOF dan EPU sudah menempatkan pegawai di dalam jawatankuasa berkenaan.

Berhubung isu penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, Fadillah berkata, perundingan mengenainya juga antara keutamaan Jawatankuasa Teknikal MA63.

Bagaimanapun katanya, cabaran utama jika isu itu dipersetujui nanti ialah sokongan Ahli Parlimen.

“Kalau dipersetujui, ia akan dibawa ke peringkat Parlimen dan memerlukan sokongan dua pertiga… inilah cabaran utama untuk merealiasikan hasrat menambahkan kerusi Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, bagi penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, beliau berkata, ia tiada masalah walaupun perlu dibawa ke Parlimen.

“Penambahan 17 kerusi itu sudah diluluskan oleh DUN Sarawak dan selepas itu perlu dibawa ke Parlimen untuk dipersetujui tetapi tidak memerlukan majoriti dua pertiga,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Anugerah Shell LiveWIRE Malaysia 2025, beliau berkata ia bagi mengiktiraf dan menyokong usahawan muda tempatan yang mempunyai idea perniagaan inovatif, berimpak sosial dan mesra alam.

“Ia bukan sekadar majlis penyampaian trofi, tetapi sebahagian daripada program keseluruhan yang merangkumi latihan, pembiayaan permulaan, bimbingan dan jaringan global untuk membantu usahawan berkembang.

“Kita berada di sini untuk meraikan idea yang berani untuk bergerak, pemikiran usahawan muda yang memilih untuk bertindak dan enggan menunggu kebenaran untuk mengubah dunia di sekeliling mereka,” katanya.-BH Online