KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 hanya wajar dibentangkan semula di Parlimen dalam bentuk baharu, selepas mengambil kira semua cadangan penambahbaikan.
Menerusi kenyataan hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu antara lain menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk menarik balik pembentangan RUU berkenaan.
“UMNO tegas dengan pendirian tidak menentang pembangunan bandar, namun RUU PSB ini perlu diperbaiki dan ditambah baik.
“Ini termasuk beberapa pindaan yang harus diperhalusi seperti cadangan Jawatankuasa Khas UMNO mengenai PSB dipengerusikan Naib Presiden merangkap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Jawatankuasa Khas UMNO mengenai PSB juga sudah melakukan beberapa siri libat urus, termasuk Konvensyen PSB dan meluluskan 14 cadangan penambahbaikan RUU PSB, pada 3 Oktober lalu,” katanya.
Terdahulu, BH melaporkan, Jemaah Menteri hari ini, bersetuju supaya RUU PSB 2025 ditarik balik untuk ditambah baik sebelum dibentangkan semula di Parlimen.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata keputusan itu selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen dan UMNO.
Sabtu lalu, Johari menerusi ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO dilapor mendedahkan parti itu memberi kata dua dalam isu sokongan ke atas RUU PSB 2025 yang dibawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Johari dilapor menegaskan, UMNO juga mahukan pembangunan semula, namun pembangunan semula diinginkan bukan seperti yang terjadi di Kampung Sungai Baru di mana penduduk diarah berpindah tetapi kediaman yang sudah lapan tahun dibina tidak siap.
UMNO sebelum ini mengusulkan tiga resolusi berkaitan RUU PSB 2025 menerusi Konvensyen PSB dengan Johari selaku Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU itu berkata resolusi pertama ialah menuntut akta itu tidak terus dibentangkan sehingga ia digubal semula bagi mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
Konvensyen juga mengesyorkan supaya kerajaan mempertimbangkan 14 cadangan khusus bagi menutup kelompongan dan kelemahan akta itu.
Antara 14 cadangan itu ialah tanggungjawab kerajaan memastikan kredibiliti pemaju; pampasan yang adil dan menyeluruh; penetapan nilai ambang persetujuan untuk pembangunan semula serta ketelusan penuh berkenaan insentif kerajaan.
Konvensyen itu juga menggesa kajian menyeluruh dan pindaan bersepadu terhadap akta sedia ada sementara menunggu RUU PSB 2025 digubal semula.-BH Online
