Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH, 22 Januari – Sasaran hasil Negeri Perak bagi tahun 2026 ditetapkan sebanyak RM1.48 bilion, sebagai penanda aras kepada kecekapan, akauntabiliti dan kesungguhan pentadbiran negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sasaran itu menuntut pendekatan yang lebih strategik dan boleh diukur, bukan sekadar mengejar angka semata-mata.

Antara fokus utama ialah memaksimumkan potensi hasil sedia ada, khususnya dalam sektor pentadbiran tanah, termasuk mempercepatkan proses pembangunan
dan tukar syarat tanah serta meningkatkan kutipan premium tanpa menjejaskan tadbir urus.

“Begitu juga dengan hasil-hasil baru kita. Saya yakin jika ia dapat dilaksanakan dengan betul dan telus, maka sasaran RM1.48 bilion tersebut boleh dicapai, malah mungkin lebih daripada itu kita mampu capai,” katanya dalam sidang media pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru di Ipoh.

Pada tahun 2025, hasil negeri mencatat prestasi memberangsangkan apabila kutipan hampir 1.5 bilion ringgit berjaya direkodkan, melepasi sasaran RM1.4 bilion.

Dalam majlis itu, beliau menggariskan lima fokus utama Kerajaan Negeri Perak bagi tahun 2026 iaitu pengukuhan hasil dan kelestarian ekonomi negeri, penyelesaian aduan rakyat secara tuntas dan transformasi digital termasuk data dan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan awam.

Turut digariskan ialah menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta pemerkasaan budaya kerja dan keupayaan pentadbiran.-Berita RTM