Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Kementerian Pertahanan memperhebat usaha membangunkan industri pertahanan tempatan yang lebih berdikari termasuk memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber serta kepakaran asing.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan kini mempunyai kerangka dasar jelas bagi memacu pembangunan industri pertahanan negara secara lebih tersusun, selaras keperluan memperkukuh kemandirian dan kedaulatan pertahanan.

“Kementerian Pertahanan memang mempunyai perancangan untuk mewujudkan serta membangunkan industri pertahanan tempatan yang berdaya saing dan berdikari. Kerana salah satu aspirasi Kementerian adalah untuk mengurangkan kebergantungan pertahanan negara terhadap sumber serta kepakaran asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkenaan mewujudkan satu industri pertahanan yang berdaya saing dan berdikari supaya kebergantungan kepada kepakaran asing dapat dikurangkan selain kesediaan Kerajaan untuk melabur dalam R&D dan inovasi produk-produk pertahanan dan keselamatan.

Pelaksanaan dasar itu turut menekankan R&D sebagai pemangkin pertumbuhan industri pertahanan tempatan, dengan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dipertanggungjawabkan sebagai peneraju penyelidikan pertahanan negara termasuk merangsang inovasi dan memperkukuh kolaborasi antara sektor awam, swasta serta institusi pengajian tinggi.

Pada masa sama, MINDEF melancarkan Portal Industri Pertahanan yang menyediakan kemudahan permohonan peruntukan R&D, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak syarikat tempatan menyertai ekosistem inovasi pertahanan.-Berita RTM