Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Pembinaan Masjid Warisan berkonsep dalam taman bercirikan seni bina MADANI di Jalan Davis, berhadapan Menara Exchange bakal memenuhi keperluan hampir 10,000 komuniti sekitar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, masjid itu dibangunkan hasil kerjasama kerajaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai sebuah bangunan ikon di tengah bandar.

”Kita jangkakan masjid ini mampu menampung lebih 6,000 jemaah pada satu-satu masa. Masjid ini juga akan menjadi salah satu bangunan ikonik yang berhadapan dengan Menara Exchange dan kita akan memastikan kerja-kerja pembinaan dilaksanakan mengikut jadual serta disiapkan tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak projek berkenaan hari ini.

Tambahnya, lokasi strategik masjid itu akan memudahkan golongan pekerja di sekitar kawasan berkenaan hadir menunaikan solat tanpa perlu membawa kenderaan sendiri.

Masjid tersebut itu akan dibina di atas tanah seluas kira-kira 1.86 hektar (4.6 ekar), dengan kos sekitar RM60 juta.

Kerja pembinaan dijangka bermula tahun ini dan siap tiga tahun lagi.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nizam Yahya.-Berita RTM