Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Projek industri pertahanan negara membabitkan pembinaan kapal perlu dilakukan dalam negara pada masa depan bagi memanfaatkan kepakaran dan pengalaman tenaga tempatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata hanya satu kapal sahaja dibenarkan dibuat di luar negara bagi projek akan datang.

Beliau merujuk kontrak pembinaan kapal misi pesisir (LMS) yang dibuat di Turkiye dengan menjelaskan mungkin ia mempunyai pertimbangan tertentu ketika itu.

“Tetapi kita percaya untuk projek yang akan datang bahawa hanya satu kapal sahaja dibenarkan untuk dibuat di luar negara.

“Sementara yang lain perlu dibuat di dalam negara supaya kita boleh memanfaatkan kepakaran, pengalaman apabila kapal itu juga dibuat dalam negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang mempersoalkan pembinaan kapal untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dibuat di luar negara. 

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata melalui Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), pihaknya mengemukakan beberapa langkah tertentu untuk memastikan usaha bagi membangunkan industri pertahanan tempatan dapat dicapai.

Beliau berkata, ia antaranya membabitkan semua perolehan produk ataupun aset pertahanan mesti mempunyai 30 peratus komponen tempatan. 

“Tiada pengecualian, maknanya syarikat yang hendak masuk tender perlu cari dan cukupkan 30 peratus komponen tempatan.

“Keduanya, tidak boleh lagi ada pembaikan dan baik pulih (MRO) dan pengeluar peralatan asal (OEM) daripada luar negara, melainkan MRO yang dikendalikan oleh OEM itu adalah untuk masa ‘warranty’ (tempoh jaminan) saja… biasanya satu tahun ataupun dua tahun. 

“Selepas itu, semua mesti dikendalikan oleh syarikat Malaysia. Jadi ini antara dasar yang kita akan jadikan sebagai asas kita permulaan untuk kita bangunkan industri pertahanan tempatan,” katanya.-BH Online