KUALA LUMPUR, 22 Januari – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa dasar kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu bukan eksperimen, dan telah melalui sesi libat urus meluas dengan pelbagai pihak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan pelaksanaan itu sebaliknya dibuat secara sukarela, berperingkat serta disertai mekanisme saringan yang komprehensif selain menumpukan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak.
“Anak kita bukan untuk ujian makmal ataupun tikus makmal. Sebab itu kita tekankan bahawa dalam konteks ini kita nak bagi tumpuan kerana ia adalah dasar yang telah pun kita bincangkan bahaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Jadi soal libat urus itu semua telah dilakukan.
“Saya tidak fikir apa yang kita hasratkan ini sifatnya dalam konteks tergesa-gesa atau tidak melibatkan semua pihak. Kita berhasrat untuk memastikan kebajikan dan kepentingan kanak-kanak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Roslan Hashim berkenaan sesi libat urus sebelum dasar kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu dilaksanakan.
Fadhlina turut memberi jaminan bahawa kementerian akan menyediakan sokongan emosi dan psikososial, serta mekanisme kawalan bagi mengelakkan tekanan sosial kepada ibu bapa sehingga kemasukan umur enam tahun menjadi norma tersirat.
Tegasnya, dasar itu bertujuan mengukuhkan asas perkembangan kanak-kanak mengikut tahap kesediaan, dan bukan untuk mempercepatkan pembelajaran akademik.-Berita RTM
