KUALA LUMPUR, 22 Januari – Kerajaan memperkukuh inisiatif menangani risiko banjir susulan cabaran perubahan iklim dan cuaca ekstrem menerusi pelaksanaan 141 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia semasa.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek berkenaan merangkumi 20 projek baharu dan 121 projek sambungan, termasuk beberapa projek tempatan berkeutamaan tinggi.
“Jadi PETRA memang mengambil serius perkara ini dan telah mengambil langkah penambahbaikan melalui pengukuhan tadbir urus pelaksana projek termasuk pemantauan kemajuan projek secara lebih rapi dan berkala, penstrukturan semula jadual kerja, penguatkuasaan terma kontrak termasuk tindakan terhadap kontraktor yang gagal mencapai prestasi ditetapkan serta penyelarasan lebih intensif bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mempercepatkan proses kelulusan dan penyelesaian isu di peringkat lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kelewatan beberapa projek RTB yang berpunca daripada pelbagai faktor termasuk pengambilan tanah, pencerobohan, keperluan peralihan utiliti, kelulusan teknikal pelbagai agensi serta keadaan cuaca ekstrem.
Datuk Seri Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, PETRA memandang serius perkara tersebut dan melaksanakan penambahbaikan melalui pengukuhan tadbir urus pelaksana projek, pemantauan kemajuan secara lebih rapi dan berkala, penstrukturan semula jadual kerja, penguatkuasaan terma kontrak terhadap kontraktor yang gagal mencapai prestasi ditetapkan, selain penyelarasan lebih intensif bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Dalam masa sama, sementara menunggu projek RTB disiapkan sepenuhnya, PETRA menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi keutamaan kepada pelaksanaan langkah mitigasi segera jangka pendek.
Antara langkah tersebut termasuk kerja-kerja pengaliran sungai, penstabilan tebing serta naik taraf saluran dan struktur berkaitan bagi melindungi penduduk di kawasan yang masih terjejas.-Berita RTM
