SHAH ALAM: Penggunaan kenderaan autonomi (AV) oleh Pos Malaysia Bhd tidak akan menyebabkan pembuangan pekerja, sebaliknya bertujuan meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pelaksanaan teknologi AV oleh Pos Malaysia yang dirasmikannya hari ini akan bermula melalui projek Proof of Concept (PoC) di fasiliti Pusat Mel Nasional, melibatkan kerjasama strategik antara Pos Malaysia dan Autonomous Logistic Solutions Sdn Bhd (ALS).
Inisiatif itu merupakan penggunaan pertama kenderaan autonomi dalam operasi pengendalian pos dan mel di Malaysia.
“Penggunaan teknologi baharu seperti kenderaan autonomi ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyingkirkan tenaga kerja sedia ada. Sebaliknya, ia perlu diselaraskan dengan usaha mengekalkan pekerja melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran agar mereka dapat melaksanakan tugas yang lebih kompleks dalam ekosistem logistik moden.
“Pada peringkat awal ini, AV Pos Malaysia hanya akan digunakan dalam kawasan tertutup di Pusat Mel Nasional bagi tujuan pengendalian dalaman. Fasa seterusnya berkemungkinan melibatkan penghantaran dari pusat utama ke pejabat-pejabat pos besar, namun setakat ini belum lagi untuk penghantaran terus ke rumah pengguna.
“Penggunaan ini dilihat mampu membantu mengurangkan kos operasi dan mengoptimumkan sumber manusia, dengan pekerja yang terlibat dalam laluan tertentu boleh dialihkan kepada tugas lain dalam organisasi,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran kenderaan autonomi (AV) Pos Malaysia di sini, hari ini.
Tambah Fahmi, pelaksanaan AV bukan usaha satu pihak semata-mata, sebaliknya melibatkan kerjasama rentas kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Digital Nasional Bhd (DNB) serta rakan strategik lain, khususnya dari segi penyediaan prasarana digital dan kelulusan peraturan.
Beliau turut menjelaskan PoC akan dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga enam bulan dan masih belum melibatkan penggunaan di jalan raya awam kerana memerlukan kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Data yang dikumpul sepanjang PoC akan dinilai sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata kerajaan telah menyalurkan dana RM50 juta bagi membantu Pos Malaysia melaksanakan tanggungjawab Universal Service Obligation (USO), iaitu kewajipan menghantar surat ke semua alamat di seluruh negara.
Pos Malaysia merupakan satu-satunya penyedia perkhidmatan pos yang diwajibkan melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Fahmi turut menyentuh peranan Kementerian Komunikasi dalam memastikan kesiapsiagaan infrastruktur digital negara, khususnya liputan 5G, bagi menyokong penggunaan teknologi autonomi pada masa hadapan.
Menurutnya, kesalinghubungan antara peranti dan rangkaian 5G yang stabil dan menyeluruh merupakan asas penting bagi membolehkan AV digunakan secara selamat dan berkesan dalam persekitaran sebenar.
Inisiatif AV sememangnya selari dengan perancangan jangka panjang Pos Malaysia yang menyasarkan peralihan kepada armada kenderaan neutral karbon menjelang 2030, termasuk penggunaan penuh kenderaan elektrik.-BH Online
