Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak membiayai Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Shah Alam yang dikaitkan dengan kes penderaan kanak-kanak.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bagaimanapun menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang terbabit dalam salah laku sedemikian, khususnya yang mendapat pembiayaan daripada MARA.

Beliau memberikan respons sedemikian susulan pempengaruh, Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli menerusi akaun Munafik Hunter di Instagram, semalam berkongsi video penderaan kanak-kanak dipercayai berlaku di dua premis taska berasingan.

“Terima kasih maklumkan pada saya, tadi Timbalan Ketua Pengarah MARA sudah bagi laporan kepada saya mengenainya.

“Taska ini adalah syarikat yang mendapat pembiayaan MARA untuk pendidikan awal kanak-kanak. 

Setakat ini, ada dua premis itu yang MARA bantu membiayai iaitu di Klang dan Bestari Jaya. 

“Kejadian yang berlaku di Kota Kemuning bukan membabitkan operator di bawah pembiayaan MARA,” katanya menerusi ruangan komen di Instagram Munafik Hunter.

Tambah Asyraf Wajdi, beliau sudah mengarahkan pengurusan MARA menjalankan siasatan penuh sambil menegaskan, MARA tidak akan berkompromi, berkolaborasi dan membiayai institusi yang mempunyai rekod tidak menjaga kualiti pendidikan apatah lagi terkait soal membabitkan keselamatan serta kesejahteraan anak-anak.

Dalam video pertama yang didakwa dikongsi pelatih di sebuah taska di Shah Alam, seorang kanak-kanak autisme dikatakan dikurung dalam stor keadaan menangis teresak-esak.

Caprice turut memuat turun satu lagi video memaparkan bayi dibiarkan menangis teresak-esak sambil pekerja pusat asuhan itu memaksa minum susu. 

Asyraf Wajdi dalam pada itu turut memohon jasa baik orang ramai mempunyai engalaman seumpamanya di mana-mana taska milik syarikat terbabit supaya berkongsi dengan lebih lanjut. 

“Semua komen di ruangan ‘posting’ (hantaran) ini, saya turut meminta pengurusan perhalusi dan ambil tindakan sewajrnya dengan segera,” katanya. -BH Online