Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Isu Lemon Law berkaitan tuntutan tebus rugi pengguna antara lima tumpuan utama agenda reformasi undang-undang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkaitan perlindungan pengguna disasarkan untuk dibentangkan di Parlimen tahun ini. 

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penggubalan peruntukan berkaitan Lemon Law bertujuan memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian dan tuntutan tebus rugi yang lebih terperinci, khususnya membabitkan pembelian kenderaan baharu.

“Sebenarnya kita sudah ada undang-undang sedia ada bukannya tidak ada langsung tetapi ada kelompangan yang perlu kita tangani. 

“Isu ini penting tetapi untuk memastikan pendekatan terbaik termasuklah penerimaan daripada industri serta melihat amalan terbaik oleh beberapa negara yang memiliki akta berkaitan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2026 KPDN di sini, hari ini. 

Selain Lemon Law, Armizan berkata, KPDN turut menyasarkan pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 bagi memperkasa penyiasatan serta penguatkuasaan terhadap kartel dan monopoli bermasalah yang menjejaskan pengguna. 

“Kedua-dua akta ini dijangka dibentangkan untuk bacaan pertama pada hujung persidangan Parlimen kali ini,” katanya.

Penambahbaikan undang-undang e-dagang

Dalam menghadapi cabaran transaksi digital, penggubalan atau penambahbaikan undang-undang berkaitan e-dagang melalui Akta Perdagangan Elektronik 2006 turut menjadi sebahagian daripada agenda reformasi bagi meningkatkan akauntabiliti platform dan perlindungan pengguna.

“Kita melihat apakah bentuk kawal selia yang kita perlu lakukan supaya Kepentingan pengguna itu dapat kita lindungi mereka yang membeli di platform e-dagang terjamin, barang yang dibeli itu, sampai sebagaimana kualiti dan kuantiti yang ditetapkan,” katanya. 

Armizan berkata, kementerian juga merancang meminda Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 bagi membanteras penipuan serta eksploitasi pengguna, selain memastikan industri berkembang secara beretika dan mampan. 

Turut dirancang ialah penggubalan Undang-Undang Harta Alih Kepentingan Bercagar bagi mewujudkan sistem pendaftaran kepentingan bercagar ke atas harta alih sebagai cagaran pinjaman, sekali gus memberi kejelasan dan keselamatan kepada pengguna serta pemberi pinjaman. 

Sementara itu, Armizan berkata, amanat yang disampaikan beliau bertemakan ‘KPDN KITA: Memaknai Aspirasi Rakyat’ menegaskan kesinambungan pelaksanaan kerangka besar hala tuju kementerian yang digerakkan sejak 2024. 

Hala tuju berkenaan merangkumi empat fokus utama iaitu Ketangkasan Penguatkuasaan, Pemacu Ekonomi Domestik, Daya Upaya dan Advokasi Kepenggunaan serta NACCOL sebagai Pendekatan Seluruh Negara (K.P.D.N). 

Hala tuju itu digerakkan menerusi empat pembolehubah meliputi Keterangkuman Kerajaan dan Kecemerlangan Organisasi, Iltizam Industri, Tekad Tatakelola serta Aspirasi dan Partisipasi Awam (K.1.T.A). 

Bagi tahun 2026, gerak kerja hala tuju terbabit dianjakkan dengan penetapan tiga indikator utama bagi memastikan aspirasi rakyat benar-benar dimaknai. 

“Indikator itu merangkumi penterjemahan ‘blueprints’ membabitkan dasar, pelan strategik dan program kepada pelaksanaan ‘footprints’ dalam bentuk inisiatif, program serta penguatkuasaan, seterusnya menghasilkan ‘imprints’ merangkumi petunjuk prestasi, kestabilan harga dan penyertaan rakyat,” katanya. 

Matlamat utama pendekatan itu adalah untuk memastikan segala perancangan yang didengar rakyat menerusi pelbagai ‘blueprints’ diterjemahkan kepada tindakan nyata yang boleh dilihat melalui ‘footprints’, sekali gus menghasilkan ‘imprints’ berupa manfaat sebenar yang dapat dirasai oleh rakyat.-BH Online